Sabtu, 18 Julai 2009

"KETUA PENGARAH MUZIK" PANCARAGAM PDRM MALAYSIA

TAHNIAH KERANA BERJAYA MENDAPAT TEMPAT KE-3 DALAM RANCANGAN
REALITI TV "oo la la" DI TV9 PADA 25.07.2009 YANG TELAH LALU.

CLICK HERE FOR DETAIL



SERBA SEDIKIT MENGENAI LATARBELAKANG "KETUA PENGARAH MUZIK" PANCARAGAM PDRM.

Alina - Dari Jenayah, Narkotik ke Pancaragam PDRM

BERSAMA keluarga tercinta


HAMPIR lapan dekad atau lebih 71 tahun Cawangan Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinaungi oleh kaum lelaki.

Buat pertama kalinya sejak awal tahun ini dalam sejarah PDRM, seorang wanita bernama Alina Saad berpangkat Supritendan diberi kepercayaan sebagai Ketua Pengarah cawangan itu bagi membawa perubahan.

Ibarat kata pepatah, tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia. Tiada sebarang mustahil jika perubahan yang direncanakan Alina bakal memberi nafas baru kepada cawangan itu.

Beliau yang memiliki latar belakang pendidikan Ijazah Muzik dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam sebelum menyertai bidang kepolisan, dilihat paling layak menerima amanah baru itu.

Apa yang menarik, Alina selain menjadi guru muzik, beliau turut aktif dalam aktiviti-aktiviti seni termasuk menjadi salah seorang pemuzik di Petronas, menyertai kumpulan tarian dan nyanyian di dalam dan luar negara.

Malah, beliau pernah mewakili negara di Portugal, Australia dan Indonesia ketika menyertai kumpulan tarian tradisional.

Suaranya yang merdu itu juga turut menyumbangkan lagu gandingan bersama penyanyi terkenal tanah air, Ziana Zain dalam sebuah album yang diterbitkan oleh BMG berjudul 'Ku Ibarat Lilin' (lagu tema PDRM).

Secara peribadi, beliau menyimpan cita-cita tersebut sejak 17 tahun lalu selepas mula menyertai bidang polis.

"Ibarat sirih pulang ke gagang. Memang sejak kecil lagi saya bercita-cita menjadi penggiat seni.

"Bagaimanapun, saya akur permintaan dengan permintaan keluarga yang mahu saya menyertai bidang polis.

"Pelantikan saya ini satu pengiktirafan buat seluruh kaum wanita dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (Pulapol) baru-baru ini.

Katanya, peluang yang diamanahkan ini akan digunakan sebaik mungkin bersama anjakan paradigma yang sedang dilaksanakan di cawangan tersebut.

Beliau yang masih aktif bersama kumpulan Kombo dan Gamelan Perkib (Pertubuhan Kebajikan Keluarga Polis) tidak putus asa mengharumkan nama PDRM melalui aktiviti-aktiviti seni yang dilakukannya.

"Satu ketika dulu, Cawangan Pancaragam PDRM pernah dikenali sebagai 'brass band' terbaik di negara ini.

"Malah, brass band itu menerima banyak jemputan untuk membuat persembahan dari pelbagai golongan termasuk di istana, badan korporat dan individu," katanya.

Selain itu, pernah menjadi duta kecil ke luar negara termasuk di Australia, Jerman, Hong Kong dan persidangan polis di rantau Asia.

Sehubungan itu, Alina menerima amanah yang digalas ini sebagai satu cabaran baru bagi mengekalkan kegemilangan yang pernah dicapai cawangan ini dulu.

Ibu kepada tiga anak perempuan ini turut bersyukur memiliki suami yang sangat memahami dan mengambil berat tentang diri dan keluarganya.

Terus berbakti

Katanya, sebelum ini, beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam selama lima tahun dan di Cawangan Narkotik selama setahun.

"Kedua-dua jabatan tersebut memerlukan fokus dan komitmen yang tinggi. Bagaimanapun, ia menjadi mudah apabila semua ahli keluarga turut menyokong dan memahami," katanya.

Ketika mengimbas kembali kes-kes menarik ketika perkhidmatannya di JSJ, hatinya tersentuh terhadap satu kes seorang remaja bawah umur yang hamil selepas melakukan hubungan seks dengan beberapa lelaki.

Katanya, ketika siasatan dilakukan ke atas kedua ibu bapa gadis itu, beliau mendapati kedua-dua tidak mengetahui perbuatan haram anak gadis mereka itu.

Malah, ibu bapa gadis tersebut mendakwa anak mereka baik dan tidak pernah meninggalkan solat serta sentiasa berada di rumah.

Bagaimanapun, tanggapan ibu bapa gadis itu salah kerana anaknya itu menyelinap keluar dari rumah ketika kedua-duanya sedang tidur dan pulang semula ke rumah sebelum subuh.

"Hati saya tersentuh kerana bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku tanpa pengetahuan ibu bapa remaja perempuan itu.

"Iktibar daripada kejadian itu, saya sedar walau pun kita sebagai ibu bapa telah sedaya upaya berusaha melindungi dan memantau perbuatan anak-anak tetapi hakikatnya ia tidak pernah mencukupi," katanya.

Hati keibuan Alina terusik ketika menyebut perkataan anak-anak, dan kelihatan air matanya mula berlinang.

"Walau sibuk sekalipun, setiap kali pulang ke rumah saya akan cium dan peluk anak-anak saya dan saya berdoa agar mereka akan menjadi anak-anak yang soleh dan baik," katanya.

Harapannya di penghujung kisah ini adalah terus berbakti kepada rakyat dan negara tanpa jemu dan semoga segala bakti yang dicurahkan, rahmatnya turut dirasai suami dan anak-anaknya dalam melayari kehidupan.


sumber: utusan malaysia online